الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 18 surah Taubah
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللهِ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللهَ فَعَسَى أُوْلَئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Maksudnya : “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”.
Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Hari demi hari telah berlalu. Demikian juga minggu, bulan dan tahun. Tahun 1432 Hijrah ditinggalkan, kemudian dibuka lagi dengan lembaran baru tahun 1433 H. Begitu juga tahun 2012 Masihi yang bakal menjemput tahun 2011 berlalu meninggalkan kita.
Marilah kita sejenak merenung diri atau muhasabah dengan menghitung segala perilaku kita sepanjang tahun ini. Apakah perbuatan yang kita lakukan itu merupakan amalan baik atau buruk?
Kadangkala sebahagian manusia sentiasa mengeluh kerana sibuk dengan kerjaya dan masalah dunia sehingga tidak dapat merasai manisnya ibadah, tidak khusyuk dalam solat, hati sentiasa keras dan malas melakukan ibadah dan kebajikan. Penyakit seperti ini tidak harus dibiarkan dan perlu diubati segera dan salah satu caranya adalah dengan bermuhasabah.
Setiap daripada kita perlukan perenungan terhadap diri sendiri; pada setiap jam, setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun, dalam kerangka ‘sumpah dan ikrar’ kita terhadap Allah s.w.t. Kita bertanya kepada diri kita sendiri: apakah kita lalui jalan yang benar, yang menuju keredaan-Nya dengan amalan yang kita galas sepanjang tahun itu. Apakah kita telah menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak hamba Allah yang diamanahkan kepada kita sebagaimana kita merasa tamak untuk mendapatkan hak-hak sendiri, kemudian membandingkan antara kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan dan menilai diri sendiri, kemudian bertaubat, beristighfar, berusaha untuk mengganti apa yang telah berlalu dengan kebaikan-kebaikan.
Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Muhasabah diri dapat dilakukan dengan mencipta soalan-soalan atau daftar pertanyaan yang ditujukan kepada diri sendiri dan menjawab sendiri, sebagaimana disebutkan menerusi firman Allah dalam surah al-Qiyamah ayat 14 yang bermaksud:
“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya.”
Muhasabah diri dilakukan di dunia ini sebelum menghadap Allah pada perhitungan akhirat. Firman Allah dalam surah al-Haaqah ayat 18 yang bermaksud:
“Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatu pun dari keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah).”
Daripada jawapan-jawapan dan pertanyaan-pertanyaan di atas seseorang dapat mengetahui:
• besarnya manfaat/hasil dalam melaksanakan ketaatan untuk mencapai keredaan Allah s.w.t. Kita akan memperbanyakkan amal itu dan akan bersyukur kepada Allah yang telah menolong diri kita untuk melakukan hal tersebut.
• besarnya kekurangan di sisi Allah, kemudian menegur diri sendiri, beristighfar dan bertaubat serta berjanji kepada Allah untuk tidak akan melakukan dosa-dosa lagi.
Ingatlah bahawa setiap manusia betapa pun panjang usianya, pasti akan berdiri di hadapan Allah s.w.t yang akan menghitung segala yang mulia mahupun yang hina, yang kecil atau yang besar, sebagaimana yang difirmankan Allah s.w.t di dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang bermaksud:
“Dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya;” dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis).”
Muslimin Yang dimuliakan,Allah s.w.t mengingatkan hamba-hambanya agar merasa takut dan bertaubat kepada-Nya, merasa malu kepada-Nya dalam semua amalnya, tingkah lakunya dan sikap diamnya, agar mereka melakukan perhitungan terhadap diri mereka sendiri dan melihat amal-amal mereka yang mereka simpan untuk diri mereka sendiri, agar menghitung diri mereka sendiri sebelum dihadapkan pada hari perhitungan yang tidak ada lagi yang tersembunyi daripada mereka. Mereka juga harus merasakan pada setiap waktu bahawa Allah Maha Mengetahui akan semua amal mereka, keadaan mereka, tingkah laku mereka dan bisikan-bisikan mereka, dan bahawa tidak ada sesuatu pun daripada urusan mereka yang tidak diketahui-Nya.
Di dalam al-Quran, banyak disebutkan tentang muhasabah di hadapan Allah s.w.t agar setiap manusia mempersiapkan jawapannya, selalu bertanya kepada diri sendiri selama hidup di dunia ini sebelum ditanya di akhirat nanti.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Maka sesungguhnya Kami akan menanyakan umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyakan (pula) rasul-rasul (Kami).” (Al-A’raf: 6)
Kata ‘menanyakan’ dalam ayat di atas adalah meminta pertanggungjawaban di hadapan Allah pada hari Kiamat, baik untuk para rasul mauhupun orang-orang yang beriman, orang-orang yang jujur dan orang-orang kafir. Semua akan dihisab di hadapan Allah dan cukuplah Allah sahaja yang menjadi Penghitung.
Saudaraku Muslimin Yang Mulia,Muhasabah nafsu dilakukan oleh seseorang dengan bertanya kepada dirinya sendiri sebelum melakukan sesuatu perbuatan, apakah perbuatan itu sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan sesuai dengan petunjuk Rasulullah s.a.w yang mulia. Kemudian sekali lagi kita bertanya kepada diri kita sendiri setelah melakukan perbuatan itu untuk meyakinkan sekali lagi bahawa kita tidak tersesat jalan, tidak menyimpang dari jalan yang lurus. Pertanyaan ini dilakukan pada setiap waktu. Kemudian melakukan penilaian ketika keadaan sudah tenang, misalnya ketika masuk tidur atau ketika bersendiri.
Muhasabah diri dilakukan terhadap semua perbuatan, tingkah laku dan tindakan kita, baik yang berhubungan dengan ibadah atau muamalah. Contohnya, adalah menjadi kewajipan bagi seseorang untuk selalu bertanya kepada dirinya sendiri dengan beberapa pertanyaan, kemudian mengingat dasar-dasar pengajaran daripada al-Quran dan Sunnah.
Rasulullah s.a.w telah mendidik umat Islam generasi pertama kepada muhasabah diri. Rasulullah s.a.w selalu mengingatkan tentang beratnya hisab di akhirat. Mereka mengetahui bahawa Allah amat memerhatikan mereka, bahawa mereka akan dihisab pada hari kiamat, dan tidak ada yang dapat menyelamatkan diri mereka daripada dihitung itu kecuali muhasabah diri dan kejujuran ketika melakukan muraqabah (pengawasan). Barangsiapa yang menghitung nafsu mereka sendiri sebelum dihitung, maka hisabnya pada hari kiamat akan ringan, tempat kembali dan tempat tujuannya akan menjadi baik. Barangsiapa yang tidak menghitung dirinya sendi, maka mereka akan alami kesedihannya yang berpanjangan dan penantiannya pada hari kiamat akan sangat lama.
Diriwayatkan daripada Ubadah bin ash-Shamit, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda kepada seorang lelaki ketika meminta kepada baginda agar diberikan nasihat. Rasulullah s.a.w memberikan nasihat dan bersabda yang bermaksud: “Jika engkau menghendaki sesuatu urusan, maka renung-renungkanlah akibatnya. Apabila baik, maka lakukanlah dan apabila sesat, maka cegahlah.”
Demikian pula ia mesti memikirkan tujuan ia diciptakan dan bagaimana Allah mengujinya. Ia mesti menyedari bahawa Allah bersamanya dan sentiasa melihat dan mendengarnya. Ia harus sentiasa mengingati bahawa apa yang dilakukannya, entah itu dianggap penting atau remeh temeh, diketahui oleh Allah dan bahawa kelak ia akan diminta pertanggungjawaban atas apa-apa yang dikerjakannya pada Hari Pengadilan nanti.
Kita seharusnya merenungkan betapa indahnya syurga dan kesenangan luar biasa daripada berbagai-bagai kenikmatan yang ada di sana, dan berupaya untuk memahami konsep keabadian. Kita juga harus menyedari bahawa neraka adalah sebuah tempat yang diciptakan untuk memberikan kesengsaraan kepada tubuh dan jiwa manusia, tidak ada hal yang baik, menggembirakan dan menyenangkan di sana dan para penghuninya akan tinggal di sana untuk selama-lamanya. Kita harus menyedari bahawa kita akan dirundung penyesalan yang mendalam setiap saat dalam kehidupan abadi kita nanti apabila kita tidak mengindahkan peringatan ini dengan serius.
Dengan begitu, kita akan membuat keputusan yang tepat dan mencurahkan segenap kehidupan kita, yang tidak lebih daripada beberapa dekad, untuk mencapai keredaan Allah, kasih sayang dan rahmat-Nya dan akan berusaha sedaya upaya untuk memperoleh syurga yang dijanjikan Allah s.w.t.
Setiap kali manusia semakin dekat kepada Allah, maka Allah akan menjaga, melindungi dan menolongnya sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman.” (Al-Hajj: 38)
Disebutkan di dalam hadis qudsi:
“Hamba-Ku tidak mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai daripada melaksanakan apa yang Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amal-amal sunnah sehingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku menjadi telinganya yang digunakan untuk mendengar, menjadi matanya yang digunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang digunakan untuk bekerja, menjadi kakinya yang digunakan untuk berjalan. Kalau dia meminta kepada-Ku, pasti akan Aku beri, kalau dia meminta perlindungan kepada-Ku, pasti akan Aku lindungi.”
Marilah kita sama-sama merenung mengenai amalan-amalan ibadah yang telah kita kumpul di dunia ini adakah sudah mencukupi untuk dibawa kehadapan Allah swt. Adakah amalan kita selama ini boleh melepaskan diri kita dari disiksa di dalam kubur, di padang mahsyar kelak. Adakah pahala amal-amal kita selama ini boleh digunakan untuk membeli syurga Allah swt atau kita diberi neraka kerana dosa kita lebih banyak daripada pahala kita.
Bolehkah kita menjawab di hadapan Allah apabila ditanya cukupkah sembahyang kamu sebagaimana yang telah disuruh/diperintahkan?? cukupkah puasa kamu bermula ketika baligh hingga kamu mati?? berapa banyak yang kamu sedekah didalam tabung masjid pada setiap minggu??Bakhilkah kamu walaupun harga getah dah semakin mahal?? Berapa kali kamu lalu dihadapan masjid pada setiap hari dan berapa kali kamu berhenti untuk solat jamaah dimasjid ini?? Adakah kamu hadir kuliah2, majlis2 ilmu, ceramah yang dianjurkan dimasjid?? Adakah kamu hanya datang masjid disebabkan kamu nak kahwin, anak kamu nak kahwin, kerana nak buat kenduri arwah/kenduri kahwin atau kamu datang ke masjid sebab kamu dah dekat nak mati?? Fikir-fikirkanlah.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ